USM JALIN KERJASAMA DENGAN UNSULBA

USM, PULAU PINANG, 3 November 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) menjalinkan kerjasama dengan Universitas Sulawesi Barat (UNSULBA) dalam pelbagai bidang pengajian termasuk bidang sastera dan sains.

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata melalui kerjasama ini USM bukan sahaja akan saling bantu-membantu dengan UNSULBA malah meningkatkan taraf ekonomi masyarakat di provinsi Sulawesi Barat.

“USM menawarkan pengajian yang seimbang kepada para pelajar dari segi aqli dan naqli dan ini akan digunakan oleh semua dalam pengajian dan kehidupan,” kata Asma.

“Kerjasama yang dijalinkan ini merangkumi tiga kategori iaitu pengajaran, penelitian iaitu penyelidikan serta pengertian masyarakat atau dimaksudkan dengan tanggungjawab sosial korporat,” kata Rektor UNSULBA, Dr. Ir. H. Akhsan Djalaluddin.

UNSULBA telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama USM dan juga akan menghantar lima orang calon pelajar Doktor Falsafah untuk mengikuti pengajian di USM.

UNSULBA yang ditubuhkan sepuluh tahun lalu di provinsi Sulawesi Barat mempunyai seramai 7,000 orang pelajar dalam pelbagai bidang pengkhususan seperti Pertanian dan Perhutanan, Teknik, Kesihatan dan Matematik.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal; Mentor UNSULBA Profesor Dr. Basri Hasanuddin dan Pengarah Pusat Keantarabangsaan Mobiliti dan Kerjaya USM, Dr. Muhizam Mustafa.

Teks: Nor Rafizah Md. Zain