USM JADI TUAN RUMAH SYARAHAN UMUM PESURUHJAYA TINGGI PAKISTAN KE MALAYSIA SYED HASSAN RAZA

talk CPEC 02

USM, PULAU PINANG, 5 November 2016 - Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia HE Syed Hassan Raza akan menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Economic Development and CPEC Cooperation between Pakistan and China: Opportunities for other Countries’ pada hari Selasa, 8 November 2016, jam 2.30 petang di Dewan Persidangan Universiti (DPU), Universiti Sains Malaysia (USM).

Syed Hassan dijangka mengupas kepentingan kerjasama antara Pakistan dan China di bawah China-Pakistan Economic Corridor (CPEC) bagi pembangunan ekonomi kedua-dua negara dan impaknya terhadap negara-negara lain khususnya di Asia Selatan dan Asia Tengah.

Syed Hassan yang berasal dari Lahore, Pakistan, mula bertugas sebagai Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia pada 27 Februari 2014. Sebelum ke Malaysia, beliau berkhidmat sebagai Duta Pakistan ke Qatar dari April 2013 hingga Februari 2014.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sastera (1983), Sarjana Muda Undang-undang (1986) dan Sarjana Sastera dalam Sains Politik (1988), kesemuanya dari University of the Punjab, Pakistan.

Syarahan umum ini dijangka dihadiri oleh warga kampus termasuk staf akademik dan pelajar antarabangsa Pakistan serta jemputan luar.

Teks: Tan Ewe Hoe