PROGRAM PEWARIS NEGARA HASILKAN GRADUAN HOLISTIK

4TANAH MERAH, 3 September 2016 - Program Pewaris Negara anjuran Jabatan Penerangan negeri Kelantan bersama pelajar universiti dengan masyarakat setempat mampu membentuk anak muda yang holistik.

Menurut Pemangku Pengarah Penerangan, Jabatan Penerangan Negeri Kelantan, Azahar Hj Sulaiman, program-program yang melibatkan interaksi pelajar universiti bersama masyarakat luar bandar mendorong semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar dan membangun sahsiah diri apabila turun padang menyelami kehidupan sebenar yang mampu menimbulkan kesedaran terhadap peranan mereka dalam pembangunan masyarakat dan negara.
“Ini adalah selaras dengan usaha melahirkan graduan holistik melalui penaksiran terhadap elemen bukan akademik dengan menerapkan nilai kepimpinan, komunikasi dan daya penyelesaian masalah," katanya.

Beliau merasmikan Program Pewaris Negara 2016 Peringkat Negeri Kelantan di Kg Sokor, Tanah Merah hari ini.

Program tiga hari dua malam itu disertai oleh 35 orang pelajar dari Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan, UiTM Machang dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KIAS) melibatkan 20 keluarga angkat yang diisi dengan pelbagai aktiviti seperti membersihkan dan mengecat surau, senamrobik dan pertandingan bola sepak serta sepak takraw antara penduduk kampung.

Peserta Nur Hazirah Razlan Teo, pelajar semester satu USM berkata, pelbagai pengalaman dikutip sepanjang bersama dengan ibu bapa angkat seperti diajar cara-cara menoreh pokok getah dan mandi air perigi.

"Sepanjang berada di bangku sekolah saya tidak pernah menyertai aktiviti sebegini dan ini adalah pengalaman pertama saya merasai sendiri cara hidup masyarakat kampung di pedalaman," katanya.

Keluarga angkat, seorang penduduk Kg Sokor Mohamad Ibrahim mengalu-alukan program ini yang dianggapnya mampu meningkatkan motivasi anak-anak Kg. Sokor untuk belajar bersungguh-sungguh dan berjaya ke universiti.

Teks: Mohamad Iqmal Mathlan / Foto: Wan Mohd Rasidi & Hairol Rasli