KUMPULAN PERTAMA DOKTOR PERUBATAN MENDAFTAR DIRI DI BELGAUM INDIA

1

KUBANG KERIAN, 3 September 2016 - Kumpulan pertama seramai 25 orang pelajar Ijazah Doktor Perubatan USM-KLE telah selamat sampai di Belgaum pada 2 September jam 11.45 malam tadi. Mereka yang terdiri daripada 11 pelajar lelaki dan 14 pelajar perempuan diiringi oleh pensyarah Pusat Pengajian Sains Perubatan USM Profesor Dr. Suhaimi Wahab.

Menurut Pengarah Kampus Kesihatan Profesor Dato’ Dr. Mafauzy Mohamad, kumpulan kedua akan menyusul dan dijangka tiba di sana pada 4 September dengan bilangan pelajar seramai 20 orang iaitu enam pelajar lelaki dan 14 pelajar perempuan serta Dr. Mohamad Saiful Bahri Yusoff sebagai pensyarah pengiring.

Manakala Profesor Dr.  Kamarudin Jaalam yang akan berangkat bersama-sama kumpulan ketiga 12 orang pelajar lelaki dan 22 pelajar wanita dijangka tiba di Belgaum pada 5 September 2016. 

Sementara itu pegawai USM-KLE IMP, Belgaum Vikram Yakkundi berkata kesemua 25 orang pelajar tersebut telah selamat tiba dan akan menjalani prosedur pendaftaran asrama, formaliti pendaftaran residensi dengan pihak berkuasa India dan program suaikenal kampus sebelum mula mengikuti pengajian.

2

USM memulakan pengajian Sains Perubatan di Kampus USM-KLE di Belgaum India pada sidang akademik 2010/2011 dan telah mengeluarkan seramai 48 orang siswazah tahun lalu. Manakala seramai 110 orang bakal bergraduat pada konvokesyen November ini.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid